Berita Utama

Guan Eng jangan cakap sembrono ikut sedap mulut

Umat Islam perlu berhati-hati tatkala pergolakan politik tanah air

BANGI, 1 Syaaban 1442H, Ahad – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak bercakap ikut sedap mulut susulan mengaitkan isu murtad dengan lompat parti.

Terdahulu, media melaporkan DAP akan tetap membawa kes wakil rakyat parti itu yang bertindak melompat parti sehingga ke peringkat mahkamah, sekali pun perkara tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Guan Eng berkata, Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa sebagai kerajaan yang bersih dan berprinsip tidak sepatutnya mempertahankan atau menyokong tindakan melompat parti.

Pemimpin DAP itu dilaporkan membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengatakan tindakan lompat parti tidak boleh dihalang kerana perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam Islam pun tidak dibenarkan murtad, jadi kenapa pula dalam politik boleh dibenarkan melompat parti?

“Apa yang disebut Takiyuddin itu memang tidak patut dan jelas melanggar prinsip politik yang dipertahankan pemimpin-pemimpin PAS terdahulu,” dakwa Guan Eng.

Berikutan itu, Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) secara sinis berkata, kenyataan Guan Eng itu boleh dianggap antara ‘legasi besar beliau’ dalam sejarah penglibatan aktif politiknya.

“Jika diambil kira sekitar sosok bernama; LGE yang bukan beragama Islam dan memang tidak tahu-menahu tentang adab berbicara sebagaimana umat Islam diajar dengan adab.

“Bukannya bercakap sembrono ikut sedap mulut apatah lagi jika mengaitkannya dengan hukum-hakam agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau menggesa umat Melayu dan Islam sentiasa berhati-hati dengan manipulasi pihak lain, tatkala pergolakan politik tanah air.

“Umat Melayu-Islam harus sentiasa berhati-hati dengan manipulasi pihak yang akan menembak ke arah kita apabila mereka menghidu peluang melakukannya.

“Apabila kita sesama sendiri sering bertelagah dengan mengabaikan permuafakatan ikatan malayuwiyyah-Islamiyyah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button