Polis tahan suspek pembunuhan di Bangsar
Mangsa ditikam dengan botol bir, dipercayai akibat dendam lama

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1442H, Ahad – Polis menahan seorang suspek berhubung pembunuhan seorang lelaki berusia 28 tahun di Bangsar.
“Pada hari Sabtu 13 Mac, serbuan dilakukan di Jalan 11, Selayang Baru Batu Caves sekitar jam 3.30 petang.
“Seorang suspek lelaki berusia 26 tahun, ditangkap ketika itu,” kata Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar dalam satu kenyataan, hari ini.
Polis sebelum ini mengatakan bahawa lima suspek telah dikenal pasti.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah lorong di Jalan Telawi 3.
“Mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 28 tahun yang sebelum itu minum minuman keras di sebuah kedai di Jalan Telawi bersama rakannya yang berusia 30 tahun,” katanya.
Dalam kejadian pada awal pagi 13 Mac, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, mereka telah berjumpa sekumpulan suspek dan berlaku pergaduhan.
Katanya, mangsa yang maut telah ditoreh di bahagian badan dengan menggunakan pisau dan ditikam dengan botol bir oleh suspek.
“Mangsa kemudian cuba melarikan diri ke arah Bangsar Village dan terjatuh di hadapan kedai serbaneka.
“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.
“Rakan mangsa pula mengalami cedera parah di bahagian muka dan masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Katanya, motif kejadian dipercayai berlaku akibat dendam lama antara mangsa yang maut dan suspek.
Beliu memaklumkan, kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 302/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan cedera parah.