Berita Utama

TH perlu kekal bebas tidak berada di bawah BNM: PPMM

Gesa pinda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi tujuan penambahbaikan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 16 Safar 1443H, Khamis – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpandangan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak perlu diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sebaliknya organisasi tersebut perlu terus kukuh mentadbir urusan haji dan kekal mendapat jaminan dari kerajaan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ketika mengadakan taklimat dan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, semalam.

“Antara inti pati yang disuarakan PPMM adalah untuk terus kekal dengan pendirian TH untuk tidak meletakkan di bawah BNM sebaliknya, boleh pinda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) untuk tujuan penambahbaikan.

“Moga TH terus kukuh mentadbir urusan haji dan kekal mendapat jaminan kerajaan,” katanya yang berkongsi mengenai pertemuan tersebut di media sosial.

Dalam masa sama, Zainul Rijal berkata, PPMM turut menyuarakan kesediaan untuk berkongsi kepakaran dalam membantu melancarkan perjalanan operasi TH.

Malah TH juga disarankan memperhebatkan hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain terutama yang berkaitan dengan Islam.

“TH perlu eratkan hubungan dengan NGO Islam dan membantu NGO berkenaan,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button