Berita UtamaDunia

Rombakan Kabinet Arab Saudi cubaan naikkan pegawai setia pada MBS: Penganalisis

Kementerian hadapi kritikan atas pengendalian ibadah haji

RIYADH, 1 Syaaban 1442H, Ahad – Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud merombak Kabinetnya dengan menggantikan Menteri Haji dan Umrah, Ketua Mahkamah Pentadbiran Tertinggi dan Presiden Lembaga Umum Penerbangan Awam.

Dalam keputusan kerajaan yang dikeluarkan oleh Saudi Press Agency (SPA), Raja Salman memecat Menteri Haji dan Umrah, Mohammed Saleh ben Taher Benten dan melantik Issam bin Saad bin Saeed, yang juga berperanan sebagai menteri negara, sebagai pemangku menteri.

“Mohammed Saleh bin Taher Benten, Menteri Haji dan Umrah akan dilepaskan dari kedudukannya,” kata SPA, tanpa memberikan alasan di sebalik keputusan itu.

Kementerian Haji dan Umrah adalah jabatan pemerintah Arab Saudi yang bertanggungjawab atas isu-isu yang berkaitan dengan ibadah haji di kerajaan tersebut.  

Beberapa tahun kebelakangan ini, kementerian telah menghadapi kritikan atas pengendalian ibadah tahunan tersebut.

Pada 24 September 2015, nahas yang mengorbankan nyawa berlaku ketika ibadah haji di Mina, dekat Makkah, menyebabkan ribuan umat Islam mati.

Sumber tidak rasmi melaporkan angka kematian hampir 7,000, berdasarkan laporan individu dari negara-negara yang warganya menjadi mangsa kejadian.

Awal bulan itu, sebuah kren pembinaan besar yang dikendalikan oleh konglomerat Saudi Binladin Group runtuh di Masjidil Haram Makkah, mengorbankan lebih dari 100 jemaah.

Dalam keputusan berasingan, Raja Salman melantik Sheikh Ali bin Suleiman bin Ali al-Sa’awi sebagai Ketua Mahkamah Pentadbiran Tertinggi yang baru.  

Dia menggantikan Ibrahim bin Suleiman bin Abdullah al-Rasheed.

Abdul Aziz bin Abdullah bin Abdul Aziz al-Duaij juga dilantik sebagai Presiden Lembaga Umum Penerbangan Awam selepas Abdul Hadi bin Ahmed bin Abdul Wahab al-Mansouri dipecat.

Sebagai tambahan, Mansouri dilantik sebagai penolong menteri luar negeri untuk urusan eksekutif dan Abdul Aziz Bin Abdul Rahman Bin Abdul Aziz al-Arifi sebagai pembantu menteri pengangkutan.

Beberapa penganalisis mengatakan bahawa rombakan Kabinet oleh Raja Salman bertujuan untuk menaikkan pegawai yang lebih setia kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman (MBS). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button