Berita Utama

Tindakan PDRM longgar syarat kredit BM tak betul: Prof Awang Sariyan

Punca Dasar Bahasa Kebangsaan tak mantap meski negara merdeka lebih 60 tahun

BANGI, 1 Syaaban 1442H, Ahad – Mengecualikan kelulusan kepujian Bahasa Melayu SPM atas alasan untuk mendorong bukan Bumiputera berkhidmat sebagai Konstabel polis bukan keputusan yang betul. 

Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, terdapat motivasi lain yang lebih wajar dan munasabah untuk membuka peluang kepada mereka.  

Katanya, kelonggaran seperti itu adalah antara punca Dasar Bahasa Kebangsaan tidak mantap, walaupun sudah lebih 60 tahun negara merdeka.

“Semua warganegara patut bersedia berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara tanpa syarat. 

“Malah, syarat untuk menjadi warganegara yang baik ialah kesediaan berkhidmat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook. 

Media sebelum ini melaporkan, mana-mana individu bukan Bumiputera yang tidak memperoleh kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu boleh memohon jawatan Konstabel PDRM.

Kelonggaran syarat itu diberi bagi permohonan jawatan konstabel Gred YA1 lelaki dan perempuan menerusi Pengambilan Khas Bukan Bumiputera mulai 18 Mac ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.

Katanya, kelonggaran syarat ini sebagai galakan supaya lebih ramai rakyat Malaysia bukan Bumiputera menyertai PDRM kerana pasukan ini memerlukan khidmat mereka.

Bagaimanapun, mereka yang terpilih ke dalam jawatan perlu menduduki semula subjek Bahasa Melayu peringkat SPM dalam tempoh enam tahun mereka berkhidmat dan perlu lulus dengan kepujian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button