Berita Utama

15 Mac kini Hari Pengguna Kebangsaan

Disambut secara serentak sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia

BANGI, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Kerajaan bersetuju menerima cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjadikan 15 Mac setiap tahun sebagai Hari Pengguna Kebangsaan.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tarikh 15 Mac dipilih bersempena dengan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia yang disambut setiap tahun sejak 1983 secara serentak di seluruh dunia.

Justeru, katanya, 2021 adalah tahun yang bersejarah kerana buat pertama kalinya negara menyambut Hari Pengguna Kebangsaan sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia pada tarikh yang sama.

“Tema yang telah dipilih untuk Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia tahun ini adalah Menangani Pencemaran Plastik.

“Pencemaran merupakan salah satu isu dan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini terhasil dari pengurusan buangan yang tidak berhemah dan teratur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, kerajaan komited dengan gagasan itu dan akan bersama badan dunia untuk menangani pencemaran terutama yang disebabkan oleh plastik, melalui pengurangan penggunaannya.

“Kerajaan telah pun memulakan advokasi dan peraturan penggunaan plastik guna sekali sejak 2019 dan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan sehingga pengguna benar-benar faham dengan bahaya plastik guna sekali kepada kehidupan dan bumi kita.

“Di masa yang sama, kementerian akan terus mendidik dan membentuk pengguna sehingga pengguna di Malaysia menjadi entiti yang tahu hak mereka, bijak, bermaklumat, berdaya-upaya dan berani bertindak,” katanya.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti akan terus dilaksanakan termasul libat-urus bersama persatuan pengguna di peringkat nasional, mahupun universiti dan sekolah serta advokasi di media arus perdana, media sosial dan digital.

“Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia pada ketika ini berada di peringkat sederhana iaitu 63.1 peratus.

“Kementerian menyasarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia dapat ditingkatkan melebihi 85 peratus dalam masa dua tahun dan akan terus membantu persatuan pengguna adi semua peringkat bagi tujuan tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button