Berita Utama

817 saman dikeluar menerusi Op Khas-Ekzos Bising

Umur pesalah disaman adalah di antara 13 hingga 22 tahun

JOHOR BAHRU, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Polis Johor mengeluarkan 817 saman kepada pemilik kenderaan di negeri ini hasil 110 operasi ‘Op Khas-Ekzos Bising’ yang dilancarkan sejak 1 Mac lepas hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua saman terhadap individu berumur antara 13 hingga 22 tahun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 4,440 kenderaan selepas polis bertindak atas aduan awam berhubung pengubahsuaian ekzos sehingga mengganggu ketenteraman awam.

“Operasi khas yang diadakan secara bersepadu melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini turut menggempur Taman Kota Masai di sini yang terkenal dengan jolokan ‘kota wheelie’ kerana aktiviti lumba haram dan pengubahsuaian motosikal.

“Operasi di Taman Kota Masai ini sahaja sudah dilakukan sebanyak empat kali sejak 1 Mac hingga semalam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena operasi terbabit di Taman Kota Masai di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JAS Negeri Johor Dr Mohd Famey Yusof dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Supt M. Kumarasan.

Ayob Khan berkata selain saman, pihaknya turut menyita 276 kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian yang menyalahi undang-undang manakala 138 kompaun melibatkan kesalahan mengikut JAS kerana pencemaran bunyi bising daripada ekzos kenderaan bermotor dan 146 kompaun mengikut pelbagai kesalahan JPJ turut dikeluarkan.

Menurutnya, kesalahan pengubahsuaian ekzos terbabit akan disiasat mengikut Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan/Penggunaan) 1959, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan manakala tindakan sitaan dilakukan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ditanya mengenai segelintir pihak dan badan bukan kerajaan yang mempertikai penguatkuasaan oleh pihak berkuasa, Ayob Khan berkata kesemua operasi yang dilakukan itu adalah mengikut lunas undang-undang.

“Pengubahsuaian yang dijalankan terhadap kenderaan khususnya motosikal dianggarkan berharga antara RM4,000 dengan RM14,000 berbanding denda yang dikenakan hanyalah RM2,000.

“Jadi tidak timbul isu mereka yang melakukan kesalahan ini tidak boleh membayar denda tersebut kerana semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah berlandaskan kepada peruntukan undang-undang,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button