Berita Utama

Isu kalimah Allah: Menteri Agama bertemu PEMBELA

Dr Zulkifli wakili kerajaan ambil maklum isu, bawa resolusi bincang bersama mufti

BANGI, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini hadir bertemu Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) berhubung isu kalimah Allah yang dibenarkan penggunaannya untuk penganut Kristian. 

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, dalam pertemuan itu, pihaknya menyerahkan memorandum tuntutan yang telah digariskan selepas ‘Persidangan NGO-NGO Islam dalam Kes Kalimah Allah 2.0’ diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.

“Hari ini, Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri datang berjumpa pihak PEMBELA di pejabat kami.

“Kami telah menyerahkan memorandum tuntutan kita dalam kes ini kepada beliau. 

“Insya-Allah, kita akan ‘follow-up’ Menteri Agama dari semasa ke semasa dan berusaha untuk melaksanakan gerak-gerak kerja bagi kesemua resolusi yang digariskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin memaklumkan, PEMBELA menggariskan enam resolusi dalam persidangan semalam.

Antara resolusi yang dipersetujui adalah memohon perkenan Raja-Raja Melayu selaku ketua agama Islam bagi negeri masing-masing mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan supaya agama tidak terus dihina dan dipermainkan.

Selain itu, resolusi tersebut turut menyeru supaya NGO-NGO Islam menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

“Semoga ini menjadi motivasi dan semangat kepada NGO-NGO Islam di setiap negeri agar segera bertindak, iaitu ‘engage’ dengan majlis agama Islam negeri masing-masing,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli mengambil maklum berkenaan resolusi yang dicapai oleh PEMBELA dan akan membawa perkara tersebut dalam munaqasyah khas bersama mufti seluruh negara, esok.

Katanya, kerajaan sentiasa melihat NGO sebagai rakan kerja strategik dalam apa jua lapangan dan sinergi yang berkesan akan membawa banyak manfaat kepada rakyat.

“Sebentar tadi saya melakukan kunjungan ke ibu pejabat PEMBELA bagi mendengar sendiri pandangan dan buah fikiran pimpinan wakil NGO-NGO Islam berkenaan isu kalimah Allah. 

“Turut hadir menyambut saya adalah bekas Presiden MUAFAKAT, Ustaz Haji Ismail Mina; Pengerusi PEMBELA, Tuan Haji Aminuddin Yahya; Timbalan Pengerusi PEMBELA, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan pimpinan utama PEMBELA. 

“Saya mengambil masa hampir 45 minit bertukar-tukar buah fikiran dan mencari titik persefahaman antara kerajaan dan NGO-NGO Islam dalam isu tersebut,” katanya dalam catatan di Facebook.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button