Berita Utama

Kerajaan bincang nilai kompaun langgar SOP COVID-19 esok

Senarai akan dibuat ikut jenis kesalahan, elak kelirukan masyarakat

KANGAR, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Kerajaan akan mengadakan mesyuarat, esok bagi membincangkan isu nilai kompaun berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, yang menjadi kekeliruan ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat itu akan diadakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Darurat COVID-19.

Katanya, nilai kompaun akan ditetapkan mengikut jenis-jenis kesalahan bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat berhubung tindakan itu.

“Kita akan mengadakan mesyuarat esok dan berbincang bagi menyenaraikan jenis-jenis kesalahan dan nilai kompaun maksimum mengikut kesalahan tersebut. 

“Misalnya, kesalahan tidak memakai pelitup muka selepas diberi amaran namun masih ada yang degil berapa nilai kompaun yang boleh dikenakan dan begitu juga kesalahan lain. 

“Kalau tidak mahu bayar kompaun, mereka boleh buat pilihan pergi ke mahkamah bagi mengemukakan rayuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi lawatan dan taklimat Jawatan Kuasa Pengurusan Darurat COVID-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Takiyuddin berkata, kerajaan memberi jaminan akan menyelesaikan perkara berbangkit mengenai pelaksanaan tindakan itu, termasuk pengeluaran saman terhadap individu yang melakukan kesalahan.

“Ramai masih tidak jelas, bukan dikompaun RM10,000 tetapi tidak melebihi RM10,000 bergantung kepada tahap kesalahan.

“Kalau kesalahan kecil atau biasa umpama tidak memakai pelitup muka, tidak mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera atau sebagainya, itu bukan kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM10,000. Banyak lagi kesalahan lain yang lebih besar.

“Ketegasan undang-undang perlu ada dan dalam masa sama turut ada budi bicara dengan dua perkara tersebut diseimbangkan,” katanya.

Terdahulu, dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan baru-baru ini, individu yang melanggar SOP ditetapkan boleh dikompaun sehingga RM10,000.

Takiyuddin menjelaskan, memandangkan ketidakpatuhan SOP sepanjang tempoh pandemik COVID-19 masih banyak berlaku, kerajaan membuat keputusan meningkatkan jumlah kompaun daripada RM1,000 kepada tidak melebihi RM10,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button