Berita Utama

Kerajaan Melayu Islam hari ini bagai ‘singa hilang taring’

Mengapa masih harapkan NGO untuk selamatkan keadaan?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

BANGI, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Kerajaan hari ini yang bertunjangkan parti politik Melayu dan Islam, bagaikan ‘singa kehilangan taring’ apabila tidak ramai pemimpinnya lantang bersuara memperjuangkan isu kalimah Allah. 

Yang Di-Pertua (YDP) BERJASA Shah Alam, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, apa yang menyedihkan, kerajaan seolah-olah hanya lantang dalam perkara yang memberi ‘political mileage’ (manfaat politik).

“Mereka diam membisu tak kata apa-apa. Bahkan isu kalimah Allah masih dianggap terlalu awal untuk respon. Apa semua ini. Mereka terlalu takut untuk hilang kawan (kuasa) sedangkan hak sahabat (rakyat) itu lebih utama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Fahmi berkata, menurut pemerhatiannya, sejak 2012-2013 suara-suara lantang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan kini gabungan NGO Islam seperti PEMBELA yang mengangkat isu-isu utama negara melalui kajian dan kerja di lapangan.

Namun, katanya lagi, ia akhirnya diambil kesempatan oleh parti Melayu Islam untuk membentuk kerajaan.

“Dari segi dasarnya memang desakan-desakan yang dibuat adalah untuk menyatukan orang Melayu dan membentuk dominasi Islam dalam kerajaan, tetapi itu semua adalah untuk mendesak kerajaan memerintah dengan bijaksana, tegas dan mempunyai wewenang politik yang mengufuk.

“….agar kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu terus dihormati dan berada di tempat yang sepatutnya,” katanya.

Pun begitu, katanya, apa yang berlaku hari Ini diibaratkan seperti ‘habis madu sepah dibuang’.

“Dapat kuasa hilang agenda dan perjuangan. Kuasa sudah di tangan mengapa masih mengharapkan NGO-NGO untuk menyelamatkan keadaan.

“Saya yakin ini seolah-olah kerajaan tidak mengambil pengajaran, terhadap kuasa mendesak daripada rakyat,” katanya.

Justeru, beliau mewakili BERJASA Shah Alam ingin mengajak masyarakat untuk memahami tanggungjawab kuasa politik bukan sekadar memerintah negara dan menikmati kenikmatan sebagai pucuk pimpinan. 

“Tetapi merekalah harapan terakhir rakyat untuk melihat negara terus berdaulat. Nasib agama dijaga dihormati dan rakyat terus terbela. Kerajaan perlu berjuang dan buat kerja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button