Berita Utama

Kertas siasatan kes kartel daging sudah diserah ke Pejabat Peguam Negara

SPRM masih tunggu arahan untuk ambil tindakan lanjut

JOHOR BAHRU, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kartel daging kepada Pejabat Peguam Negara dua minggu lepas.

Pengarahnya Datuk Azmi Alias berkata pihaknya sedang menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran CD Anti Rasuah, di sini, hari ini beliau berkata sehingga kini 12 suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes itu, termasuk Pengarah Syarikat serta pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kes tawaran rasuah RM10 juta untuk lompat parti melibatkan Ahli Parlimen Sekijan Natrah Ismail, beliau berkata siasatan berhubung kes itu telah selesai dan keterangan saksi telah diambil.

“Siasatan pada peringkat awal telah selesai dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Empat saksi juga telah dirakam percakapan mereka termasuk Natrah,” katanya.

Pada 9 Mac, SPRM Johor membuka kertas siasatan bagi mengesahkan aduan berhubung tawaran rasuah RM10 juta melibatkan Natrah sebagaimana yang dilaporkan dalam Facebook Ops Johor berkenaan kes berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button