Berita Utama

Perpecahan parti-parti politik Melayu beri nyawa kepada PH?

Ada pemimpin hanya cari kekayaan peribadi, kemaruk kekalkan kuasa

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Kegagalan pemimpin dan parti-parti politik Melayu duduk semeja mencari kesepakatan antara punca perpecahan kuasa politik bangsa.

Lebih menyedihkan, apabila ‘common ground’ yang ada dalam kalangan pemimpin politik Melayu selama ini hanya mencari kekayaan peribadi, kemaruk mengekalkan kuasa dan menyelamatkan diri daripada kes-kes mahkamah.

Atas sebab itu, slogan ‘Menyelamat Maruah Melayu Islam’ yang dimomokkan hanya dilihat bersifat mempromosi dan mengajak pengundi bersama gabungan yang dibentuk, kata Naib Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), AD Satiman.

“Ini bukan bermaksud saya menolak mana-mana perjuangan yang mengangkat slogan keramat perjuangan tersebut, namun slogan itu sering ‘dilacuri’ untuk kepentingan politikus tiada maruah.

“Ketiadaan pejuang tulen negara dalam landskap politik amat membimbangkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

AD Satiman mengakui perpecahan dalam kalangan pemimpin politik Melayu bakal membawa kerugian besar kepada kuasa politik bangsa.

Melihat senario sekarang, AD Satiman menjangkakan semua parti politik akan berpecah dan membentuk blok masing-masing pada PRU15.

“PN akan menarik MP lain untuk menambah majoriti mereka. PKR juga menunjukkan bibit-bibit boleh terima UMNO untuk bina kekuatan baru di Parlimen.

“Pastinya, UMNO dan PKR itu sendiri akan terpecah kerana ahli masing-masing berbeza pendapat untuk bergabung dengan seteru sekian lama mereka,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku perpecahan di dalam PAS, di mana sebahagian mereka mahu bersama PN dan ada yang selesa bekerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

“Terlalu banyak perbincangan di sebalik tabir antara mereka. Soalnya, adakah ini untuk manfaat rakyat dan negara?

“Adakah senario ini beri ruang PH memerintah semula? Ia bergantung kepada sentimen yang dibina terhadap pengundi menjelang PRU15,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button