Berita Utama

Polis buka kertas siasatan kekecohan konvensyen DAP

Didakwa berlaku pelanggaran SOP PKPB ketika berlangsung konvensyen

IPOH, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Kertas siasatan berkaitan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuka berikutan kekecohan yang tercetus ketika Konvensyen Biasa DAP Perak ke-19 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan dilakukan pihaknya bagi mengumpul semua bukti berkaitan penganjuran serta kesalahan pelanggaran SOP.

Namun, katanya, tiada kesalahan berhubung tindakan penganjur tidak memohon permit mahupun membuat pemakluman awal mengenai acara berkenaan kepada polis, disebabkan ia dilakukan secara tertutup.

“Kita mengesahkan insiden kekecohan berlaku antara segelintir perwakilan di konvensyen itu, namun ia hanya membabitkan pertengkaran mulut selain keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Siasatan dibuka berdasarkan laporan polis yang diterima dari Balai Polis Sungai Senam berkaitan kesalahan dari sudut pelanggaran SOP PKPB semasa kekecohan berlaku,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

A Asmadi berkata, penganjuran program berkenaan adalah dibenarkan mengikur SOP PKPB dengan kapasiti kehadiran adalah tidak melebihi 50 peratus daripada keluasan dewan.

“Konvensyen itu acara tertutup dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dimaklumkan (awal) mengenai program itu. Bagaimanapun pemantauan polis mendapati jumlah kehadiran dan kapasiti dewan mematuhi SOP,” katanya.

Semalam, media melaporkan berlaku sedikit kekecohan sewaktu konvensyen yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button