Berita Utama

Resolusi isu kalimah Allah dimuktamadkan esok

Pertemuan dengan mufti, pakar perundangan bakal diadakan

KUALA LUMPUR, 1 Syaaban 1442H, Isnin – Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata satu pertemuan dengan mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang bagi memuktamadkan resolusi berkaitan isu kalimah Allah akan diadakan esok.

Menerusi perkongsian di portal al-Bayan, Zulkifli berkata cadangan pertemuan bersama mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Penasihat Undang-Undang Jakim, Jumaat lalu.

Portal al-Bayan adalah portal yang dibangunkan oleh pejabat Zulkifli yang menggabungkan 13 agensi di bawahnya untuk menyalurkan maklumat berkenaan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Menurut Zulkifli lagi, pertemuan tersebut antara lain bagi mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana tindakan segera yang teratur dan berprinsip perlu memandangkan isu itu melibatkan aspek teknikal.

“Berhubung isu akidah, apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button