Dunia

138 terbunuh sejak rampasan kuasa di Myanmar

PBB dakwa tindakan tentera langgar hak asasi rakyat

GENEVA, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Sekurang-kurangnya 138 penunjuk perasaan, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh sejak rampasan kuasa tentera Myanmar 1 Februari lalu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, jumlah itu termasuk 38 orang yang terbunuh di wilayah Hlaing Thayer di Yangon semalam, dan 18 lagi pada Sabtu lalu. 

“Kami melihat hujung minggu (di Myanmar) yang penuh dengan pertumpahan darah,” katanya

Dujarric berkata, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk sekeras-kerasnya insiden keganasan berterusan terhadap penunjuk perasaan secara aman, selain menyifatkan tindakan itu melanggar hak asasi rakyat Myanmar. 

Guterres mengulangi gesaannya kepada masyarakat antarabangsa untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Myanmar dan aspirasi demokratik mereka. 

Setakat ini, lebih daripada 2,000 orang di seluruh Myanmar ditahan. 

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari dan menahan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint dan pemimpin Liga Demokratik Kebangsaan Nasional (NLD) yang lain. 

Sejak insiden itu, rakyat mula berdemontrasi menentang tindakan tentera di Yangon, Mandalay dan beberapa bandar lain di negara itu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button