Berita Utama

Belum ada kerjasama PKR-UMNO, hanya perbincangan awal

PKR komited bersama PH termasuk bekerjsama dalam PRU15

PETALING JAYA,  2 Syaaban 1442H, Selasa – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, belum ada kerjasama secara rasmi antara PKR dan UMNO sebaliknya perkara itu hanya pada peringkat perbincangan awal.

Beliau berkata, perbincangan itu setakat ini membabitkan sokongan untuk bekerjasama secara individu oleh beberapa Ahli Parlimen UMNO.

“Ada beberapa Ahli Parlimen UMNO yang menyokong (secara peribadi), namun (sokongan) sebagai parti tiada keputusan. Perbincangan dengan UMNO (Ahli Parlimen) itu berterusan.

“Saya tidak tolak kemungkinan (kerjasama PKR-UMNO) tapi ini terlalu awal, premature untuk saya tentukan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama kepimpinan tinggi parti yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Baru-baru ini, menerusi wawancara bersama akhbar tempatan, Anwar mendedahkan terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan UMNO mengenai kemungkinan akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, beliau menegaskan, PKR kekal dan komited bersama PH termasuk terus bekerjasama dengan parti komponen gabungan itu ketika PRU15 kelak.

Mengenai tindakan beberapa pemimpin PKR termasuk Ahli Parlimen meninggalkan parti dan menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), Anwar mendakwa PN masih tidak mendapat sokongan majoriti dengan tindakan berkenaan.

“PN mendakwa mempunyai 111 (Ahli Parlimen), jika kita ambil sebahagian daripadanya (dalam 111) yang menyatakan sokongan kepada saya, mereka (PN) secara teknikal tinggal 100 (orang). Saya masih mempunyai bilangan yang mencukupi,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button