Berita Utama

Kalimah Allah: ISMA sokong tindakan kerajaan fail rayuan

Penganut Kristian ada nama Tuhan tersendiri, tak perlu susah payah pinjam nama Tuhan agama lain

BANGI, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.

Presidennya, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menegaskan, ISMA membantah sekeras-kerasnya tindakan penganut agama Kristian yang tetap mahu menggunakan kalimah Allah dalam apa juga keadaan.

Sehubungan itu, beliau kesal dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama, pendidikan dan komuniti mereka.

“ISMA melihat sekiranya penganut agama Kristian mahu menggunakan kalimah Allah kerana merujuk kepada bahasa Melayu ianya sesuatu yang salah kerana Allah bukan perkataan bahasa Melayu.

“Penganut Kristian juga ada nama tuhan yang tersendiri dan tidak perlu bersusah payah untuk meminjam nama tuhan agama lain.

“… sehingga menimbulkan ketegangan bukan sahaja di kalangan penganut agama lain, bahkan di kalangan penganut agama Kristian sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ISMA menyokong semua resolusi yang digariskan oleh NGO Islam termasuk Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sebelum ini.

Ahad lalu, sebanyak enam resolusi digariskan pertubuhan bukan kerajaan dalam persidangan tergempar NGO-NGO Islam dan tokoh-tokoh masyarakat dalam isu kalimah Allah 2.0.

Berikut adalah Resolusi NGO-NGO Islam:

1. Menuntut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merayu terhadap keputusan ini ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera dan meminta penangguhan perlaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan selesai. KDN perlu mengeluarkan pekeliling baharu pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan.

2. Menuntut kerajaan dan jawatankuasa Pemilihan Hakim untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar faham sejarah perundangan negara dan menghayati Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks yang sebenar dilantik sebagai hakim.

3. Menyaran agar setiap organisasi dan persatuan umat Islam mengambil serius perihal dan isu ini kerana ianya membawa implikasi yang besar kepada umat Islam dan kita menyarankan agar satu memorandum bantahan dihantar kepada majlis agama Islam negeri (MAIN) di setiap negeri dengan kadar yang segera.

4. Menuntut kerajaan mengadakan ‘preamble’ (mukadimah) kepada Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan elemen-elemen penting bagi menjaga keutuhan Islam.

5. Menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka selaku badan berautoriti terhadap bahasa untuk memberikan definisi kepada ‘God’ sebagai ‘Tuhan’ bagi menghilangkan pertikaian yang timbul.

6. Memohon ampun perkenan Raja-Raja Melayu selaku Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing untuk mengambil tindakan segera bagi membetulkan keadaan supaya Islam tidak terus dihina dan dipermain-mainkan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button