Kalimah Allah jika disalah guna bakal cetus huru-hara
Harap Menteri Agama bertindak segera sebelum keadaan jadi parah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Perjuangan mengembalikan kalimah Allah pada tafsiran Islam dengan tepat adalah tanggungjawab semua umat Islam.
Ini kerana penggunaan nama Allah – jika disalahgunakan – bakal mencetuskan kemarahan umat, akibat prinsip tauhid yang amat berbeza di antara ‘Allah’ dalam Islam dan God’ dalam Kristian.
Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, pada asalnya, bukanlah suatu kesalahan ke atas sesiapapun yang mahu menyebut kalimah ‘Allah’ sebagai ‘Yang Maha Pencipta’.
Ia bukan satu kesalahan sehingga perlu dihukum ke atas yang bukan Islam jika ia mahu memberi ‘salam’, bukan juga menjadi satu kesalahan jika sesiapa menyebut ‘Allah’ berulang kali.
Yang menjadi kesalahan hingga boleh menyebabkan seorang itu dikira telah melakukan perbuatan syirik apabila ia mengatakan ‘Allah itu adalah bapa kepada Jesus, atau Allah disalib, atau Allah itu punya anak, atau apa-apa yang bercanggah dengan konsep tauhid kepada sifat dan zat Allah SWT.
Beliau menjelaskan, inilah perkara paling prinsipal yang dibantah dan amat dibimbangi oleh para ulama, sarjana dan orang ramai di kalangan Melayu muslim di negara ini apabila kalimah Allah dibenarkan penggunaannya kepada Kristian Malaysia.
“Jika dibiarkan, berkemungkinan boleh menyebabkan keadaan menjadi huru-hara kerana ia terang-terangan akan menyinggung perasaan orang Islam, sama ada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup.
“Ini kerana amat bercanggah dengan konsep Rukun Iman umat Islam dalam memahami implikasi dan makna nama Allah Yang Maha Suci itu,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PEMBELA menyambut baik kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ke ibu pejabat PEMBELA bagi membincangkan isu itu, semalam.
Pada perjumpaan itu, katanya, PEMBELA telah memanjangkan kerisauan dan suara daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam kepada Dr Zulkifli untuk diambil perhatian serius serta tindakan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Ini belum lagi kebangkitan di negeri-negeri lain yang sememangnya turut membimbangkan NGO-NGO pada peringkat negeri. Isu ini tidak boleh didiamkan oleh pihak berkuasa khususnya oleh YB Menteri Agama,” tegasnya.