Berita Utama

UMNO berdepan risiko besar jika PRU15 tahun ini

Kebijaksanaan Agong jadi penentu, wajar atau tidak pilihan raya

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 6 Rabiulawal 1444H, Isnin – Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi penentu sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini seperti kehendak UMNO atau sebaliknya.

Walaupun Seri Paduka akan membuat keputusan berdasarkan nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet, namun baginda juga berhak mempertimbangkan wajar atau tidak, perlu atau tidak PRU15 diadakan tahun ini, kata penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

“Buat masa ini, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan Seri Paduka yang menilai dari pelbagai sudut terutama keselamatan dan faktor -faktor lain.

“Sekiranya tiada halangan, baginda akan membuat keputusan tapi disebabkan tempoh masa untuk mengadakan PRU15 masih ada sehingga September tahun depan kemungkinan PRU akan ditangguhkan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Azizuddin berkata, sekiranya PRU15 diteruskan pada tahun ini ia akan memberi risiko kepada UMNO, walaupun negara sebelum ini berpengalaman mengadakan PRU pada musim tengkujuh.

UMNO mungkin melihat kepada faktor-faktor lain terutama momentum kekuatan partinya, menyebabkan mereka yakin menang besar dalam PRU15.

“Lagipun memang UMNO dari dulu lagi mahu awalkan PRU15.

“Nak teruskan PRU15 pun boleh tapi bagi saya akan ada risiko besar kepada UMNO dan bukan bagi kesan kepada Seri Paduka yang membenarkan pembubaran,” katanya.

Beliau juga berpandangan, adalah lebih wajar supaya PRU15 ditangguh memandangkan tempoh tamat penggal adalah sehingga September tahun depan.

Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu adalah antara dicapai pada Mesyuarat MT UMNO yang diadakan selepas perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button