Berita Utama

Kalimah Allah: PEMBELA sedia tawar khidmat pasukan peguam, kajian

Ketepi dahulu sentimen, kepentingan politik kepartian demi hak

BANGI, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) bersedia menawarkan khidmat pasukan peguam dan kajian mereka berhubung kes penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Hasrat yang disuarakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes ini.

Difahamkan, notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Dalam notis rayuan difailkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ia menyatakan rayuan itu dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin pada 10 Mac lepas.

Sebelum ini, dalam keputusannya, Nor Bee memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, arahan oleh KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Berikutan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya meluahkan rasa syukur apabila satu lagi tuntutan daripada resolusi Persidangan NGO-NGO Islam mengenai Kes Kalimah Allah 2.0 di Kelab Sultan Sulaiman pada Ahad lalu sudah mula diambil tindakan.

Resolusi berkenaan antaranya menuntut KDN merayu terhadap keputusan kes itu ke mahkamah yang lebih tinggi dengan kadar segera.

Ia juga meminta penangguhan perlaksanaan keputusan hakim tersebut sehingga kes rayuan selesai serta mengeluarkan pekeliling baharu pengharaman penggunaan perkataan-perkataan tersebut sekiranya penangguhan itu tidak dibenarkan.

Haji Aminuddin berkata, pihaknya akan cuba berusaha untuk ‘engage’ dengan KDN bagi menjayakan agenda ini dengan penuh strategik.

“Malah, jika perlu, kita bersedia untuk menawarkan penglibatan pasukan peguam dan pasukan kajian kita untuk terlibat secara langsung atau tidak langsung untuk perkara ini.

“Ayuhlah, kita ketepikan dahulu semua sentimen dan kepentingan politik kepartian sebentar dan kita bersatu padu dalam isu ini. Kita masih belum benar-benar kalah lagi kerana masih ada ruang-ruang perundangan yang sebenarnya menjadi hak yang dijamin.

“Saya yakin, jika persidangan Ahad lalu ‘hambar’, maka pihak atasan akan berat untuk bertindak kerana kita hidup pada zaman ‘viral’ di media sosial dan akhbar massa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada rakyat marhaen melalui persatuan-persatuan dan NGO-NGO yang bersama-sama dalam isu ini – terutamanya yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam persidangan kelmarin.

“Perjalanan masih jauh, perjuangan masih panjang dan penuh berliku. Ini perjuangan membela agama yang perlu dukungan dan penglibatan seluruh umat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button