Berita Utama

Kalimah Allah: Resolusi dimaklum setelah perkenan Majlis Raja-Raja

Pertemuan dengan mufti seluruh negara muktamadkan resolusi hari ini

BANGI, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Resolusi berkaitan isu kalimah Allah akan dimaklumkan setelah menerima titah perkenan daripada Majlis Raja-Raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, menjadi kelaziman bagi isu-isu hal ehwal Islam di Malaysia terutamanya di peringkat nasional, di mana sebarang bentuk resolusi, usul dan pandangan akan disampaikan kepada Penyimpan Mohor Raja-Raja untuk disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

“Alhamdulillah, munaqasyah khas isu-isu semasa mufti-mufti seluruh Malaysia dan alim ulama’ berkaitan isu kalimah Allah telah berlangsung dengan jayanya hari ini.

“Saya mengucapkan sekalung penghargaan atas komitmen dan kesungguhan para Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan para alim ulama’ yang dijemput bagi menyampaikan buah fikiran masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Dr Zulkifli berkata, satu pertemuan dengan mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang bagi memuktamadkan resolusi berkaitan isu kalimah Allah diadakan hari ini.

Menerusi perkongsian di portal al-Bayan, Dr Zulkifli berkata, cadangan pertemuan bersama mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Penasihat Undang-Undang Jakim, Jumaat lalu.

Katanya lagi, pertemuan tersebut antara lain bagi mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana tindakan segera yang teratur dan berprinsip perlu memandangkan isu itu melibatkan aspek teknikal.

“Berhubung isu akidah, apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli menyeru umat Islam untuk terus bersatu hati bagi memartabatkan agama itu sebagai agama Persekutuan menerusi ilmu, iman dan amal.

“Keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia akan terus menjadi teras pembangunan negara yang kita cintai bersama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button