Berita Utama

Pelangai: Kecewa pemilihan calon BN punca Haslihelmy tanding Bebas

Hierarki UMNO Bentong diketepi, kepimpinan gagal dengar suara akar umbi

BENTONG, 7 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Kecewa dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) didakwa antara punca utama bekas ahli UMNO, Haslihelmy DM Zulhasli, 36, bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Beliau mendakwa, parti itu mengetepikan mereka dalam hierarki UMNO Bahagian Bentong apabila memutuskan untuk memilih Datuk Amizar Abu Adam sebagai calon BN.

“Amizar sebelum ini pernah tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), malah tewas pada pemilihan peringkat bahagian tahun ini (untuk jawatan naib pengerusi).

“Kepimpinan UMNO negeri gagal mendengar suara akar umbi parti. UMNO Bahagian Bentong telah mengesahkan Datuk Zaini (Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh) dan sehingga 3 petang pada 20 September, beliau masih menjadi calon. 

“Namanya ditukar pada waktu petang. Jika pucuk pimpinan parti memilih Datuk Zaini, maka saya tidak akan bertanding,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul memaklumkan, keahlian Haslihelmy bagi Cawangan Kampung Sum-Sum, Janda Baik secara automatik digugurkan selepas beliau bertanding sebagai calon Bebas.

PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini akan menjadi pertembungan tiga penjuru antara Haslihelmy, Amizar dan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Sementara itu, Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang berkata, walaupun tidak mempunyai jentera pilihan raya yang besar dan tenaga kerja kuat berbanding calon lain, langkahnya itu mendapat sokongan daripada golongan muda di Pelangai.

“Saya ada cara tersendiri untuk melawan pertempuran ini (PRK Pelangai). Saya tidak akan memasang sepanduk dan poster sebaliknya pergi berkeliling bertemu penduduk di Pelangai untuk memperkenalkan diri dan mendapatkan sokongan mereka… Saya telah banyak menganjurkan aktiviti bersama belia di Pelangai,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keahlian UMNO, Haslihelmy berkata, beliau masih sayangkan parti itu tetapi ia telah menyimpang daripada prinsip asalnya dan memberikan sokongan kuat kepada DAP, walaupun kedua-dua parti sepatutnya hanya bekerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan.

“BN dan Pakatan Harapan tidak perlu bekerjasama semasa pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri. 

“Bagaimanapun, mereka kini telah bergabung sebagai pasukan… Ini tidak wajar untuk penyokong BN lebih-lebih lagi kita telah mengamalkan pendirian ‘No DAP’ semasa pilihan raya umum lalu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button