Berita Utama

Selangor larang jemputan imam luar negara untuk solat tarawih

Pentadbir masjid, surau perlu patuh ketetapan khas sepanjang Ramadan

BANGI, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Selangor melarang menggunakan perkhidmatan jemputan imam dari luar negara bagi pelaksanaan solat sunat tarawih dan program Ihya Ramadan.

Semua pentadbir masjid, surau dan musolla perlu memantau dan memastikan khidmat imam lantikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Jemputan imam luar negara adalah sama sekali tidak dibenarkan kecuali selepas mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi turut mengingatkan semua pentadbir masjid, surau dan musolla supaya mematuhi ketetapan khas lain yang turut ditetapkan sepanjang Ramadan.

Katanya, pelaksanaan solat sunat tarawih perlu dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan membaca surah dan ayat-ayat pendek.

“Pelaksanaan tazkirah juga dilaksanakan selepas selesai solat itu oleh penceramah bertauliah dan tempohnya tidak lebih 20 minit,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Zawawi berkata, kerajaan negeri menyambut baik ketetapan khas JAIS mengenai kebenaran pelaksanaan solat fardhu lima waktu, solat Jumaat dan aktiviti pengimarahan dengan kapasiti penuh mengikut syarat ditetapkan.

Katanya, berikutan fasa endemik COVID-19 ketika ini, orang awam dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button