Berita Utama

Reman suspek kes bunuh Nik Khatijah disambung hingga Jumaat

Polis lengkapkan kertas siasatan sebelum dibawa untuk proses pendakwaan di mahkamah

KUALA LUMPUR, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Tempoh reman suspek kes pembunuhan Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Nik Khatijah Nik Mud, disambung enam hari lagi sehingga Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, reman pertama terhadap suspek tamat Ahad lalu.

Bagaimanapun, tempoh reman disambung bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dibawa untuk proses pendakwaan di mahkamah.

“Suspek tamat reman, Ahad lalu dan pada hari sama kita memohon reman disambung yang akan berakhir Jumaat ini,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan suspek berusia 57 tahun itu bagi membantu siasatan kes bunuh mangsa yang ditemukan mati dengan kesan jerut pada lehernya.

Mangsa ditemui di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang jam 8 pagi pada 8 Mac lalu.

Suspek ditahan di sekitar Kajang, jam 8.45 malam pada hari sama.

Nik Khatijah yang berusia 32 tahun adalah bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan berkhidmat di Ibu Pejabat IKRAM sejak 2013.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button