Berita UtamaDunia

Sri Lanka perlu masa pertimbang usul larangan burqa

Duta Pakistan bimbang cadangan singgung perasaan umat Islam

COLOMBO, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Kerajaan Sri Lanka memerlukan masa bagi mempertimbang usul larangan pemakaian burqa – yang didakwa seorang pegawai keselamatan tinggi sebagai tanda ekstremisme agama.

Sabtu lalu, Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera berkata, beliau meminta persetujuan Kabinet untuk melarang burqa – pakaian dipakai wanita muslim yang menutupi badan dan wajah – tindakan yang didakwanya memberi kesan langsung kepada keselamatan negara.

Bagaimanapun, jurucakap kerajaan, Keheliya Rambukwella berkata, larangan itu adalah keputusan serius yang memerlukan perundingan dan kata sepakat.

“Ia akan dilakukan secara rundingan. Jadi memerlukan masa,” katanya tanpa mengulas lanjut, pada taklimat media mingguan yang diadakan untuk mengumumkan keputusan Kabinet.

Terdahulu, seorang diplomat Pakistan dan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluahkan rasa bimbang berhubung kemungkinan larangan itu.

Duta Besar Pakistan, Saad Khattak menerusi kenyataan di Twitter berkata, larangan itu hanya akan menyinggung perasaan umat Islam.

Sementara pelapor khas PBB mengenai kebebasan beragama atau kepercayaan, Ahmed Shaheed berkata, larangan itu tidak sesuai dengan undang-undang antarabangsa dan hak kebebasan beragama.

Pemakaian burqa di Sri Lanka dilarang buat sementara waktu pada 2019, sejurus selepas serangan bom ketika perayaan Easter pada gereja dan hotel yang mengorbankan lebih dari 260 orang di negara kepulauan Lautan Hindi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button