Berita Utama

Presiden MIC cabar MB Kedah tanding kerusi campuran

Vigneswaran dakwa Muhammad Sanusi tak bertimbang rasa

BANGI, 12 Jamadilakhir 1442H, Isnin – ‘Perang mulut’ di antara Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor serta pemimpin MIC dilihat semakin tegang.

Terbaharu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mencabar Muhammad Sanusi supaya bertanding di kerusi campuran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau mendakwa, sikap angkuh Muhammad Sanusi antara punca ramai orang meninggalkan PAS dan membentuk Parti Amanah Negara (PAN).

“Tidak ada parti serpihan daripada MIC sejak 30 tahun lalu walaupun terdapat banyak isu. Isu terakhir mempengaruhi banyak pengundi, bahkan pengundi Melayu yang secara tradisional memberikan sokongan mereka kepada BN tetapi tidak melakukannya pada PRU14.

“Menteri Besar ini pula tidak bertimbang rasa seolah-olah PAS sendiri membentuk pemerintahan di Kedah,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang dilaporkan ‘malas layan’ kenyataan pemimpin MIC termasuk amaran parti itu yang tidak akan menyokongnya pada PRU15.

Semalam, Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, pada PRU14 MIC juga tidak menyokong PAS, malah kebanyakan ahli parti itu menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Malas layan dah, pada PRU14 pun dia tak sokong kita juga. Kebanyakan mereka mengundi PH, MIC pun tinggal satu kerusi sahaja.

“Hakikatnya MIC yang memerlukan undi daripada bukan India,” katanya.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata, sikap Muhammad Sanusi itu hanya akan membuat pengundi berasa terasing.

“Saya dapat memahami dengan jelas mengapa dan bagaimana Amanah dibentuk kerana orang seperti MB Kedah yang sombong serta tidak mempunyai keberanian untuk bertanding di kawasan bukan Melayu.

“MIC dan MCA masih akan bertanding dan mengambil risiko. Untuk menunjukkan betapa terkenal dan hebatnya beliau, saya mencabar Muhammad Sanusi untuk bertanding di kerusi campuran dan melihat bagaimana pengundi menyokongnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button