Berita Utama

UMNO mungkin ‘rujuk’ PN jika ada perubahan pimpinan

Keputusan pimpinan parti hanya letakkan UMNO posisi ‘disadvantage’

BANGI, 2 Syaaban 1442H, Selasa – Bekas Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menganggap surat penarikan diri parti itu daripada Perikatan Nasional (PN) masih belum muktamad.

Dalam konteks pilihan raya, beliau mengandaikan bahawa UMNO belum membuat keputusan muktamad untuk menarik diri daripada PN, dan tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan bergantung kepada PRU dan pimpinan parti.

Beliau menjelaskan, akan ada beberapa faktor yang menyebabkan keputusan UMNO tidak muktamad sepenuhnya, iaitu selagi belum ada ada tarikh jelas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kemungkinan perubahan pemimpin di dalam parti.

“Pertama, bila PRU diadakan? Tahun ini, tahun depan atau 2023? Tempoh itu kemungkinan pelbagai perkara berlaku, mungkin berubah.

“Kedua, siapa yang memimpin ketika itu. Di saat PRU esok, siapa yang memimpin UMNO? Kerana pemimpin itu sendiri boleh mencorakkan keputusan atau satu-satu dasar yang diputuskan,” katanya dalam program Kerusi Panas di TV Pertiwi, malam tadi.

Justeru, Annuar menyifatkan tiada sebarang keputusan yang muktamad di dalam politik.

“Baru-baru ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri memberi gambaran bahawa tidak mustahil, misalnya selepas PAU (Perhimpunan Agung UMNO) akan datang, barang kali ada lagi perubahan tertentu.

“Atau masa-masa lain, kalau ada pemilihan UMNO misalnya, atau kalau berubah pimpinan misalnya sebab kita belum tahu bila PRU diadakan,” katanya.

Atas sebab itu, beliau hairan terhadap kenyataan yang diputuskan pimpinan parti, ketika mana semua pihak tidak mengetahui bila pilihan raya diadakan.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, keputusan yang dibuat hanya meletakkan UMNO dalam satu posisi ‘disadvantage’.

“Saya tidak pertikai surat itu, cuma saya fikir dari segi kebijaksanaan kita nampak ada satu percanggahan.

“Di satu pihak kata kita kekal dengan kerajaan ini, bila kekal kita mestilah dalam suasana bermuafakat, berunding, bekerja dan bersahabat,” katanya.

Namun, apabila diumumkan pada PRU nanti hubungan itu akan dihentikan, ia menjadi dilema yang menyebabkan ahli-ahli di bawah ingin mengetahui ke mana hala tuju parti.

“Nak bekerjasama sekarang mungkin orang menjauhkan diri daripada kita kerana dah tahu nak berpisah, tetapi jika beri kuasa bagaimana? Sedangkan UMNO seolah-olah akan berlawan dengan pihak yang memberi dan berkongsi kuasa.

“Jadi ia tidak memberikan kelebihan pada kita, malah menimbulkan satu bentuk kesamaran dan kekeliruan dalam strategi akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button