Berita Utama

Dos ke-2 Comirnaty penting hasil antibodi optimum

Bolehkan keberkesanan jangka panjang seseorang penerima

KUALA LUMPUR, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Pengambilan dos kedua vaksin COVID-19 Comirnaty (Concentrate for Dispersion for Injection) keluaran Pfizer-BioNTech penting untuk peningkatan ketara antibodi bagi membolehkan keberkesanan jangka panjang seseorang penerima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.

“Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal, keberkesanan vaksin Comirnaty telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89 peratus keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

Dr Noor Hisham berkata demikian bagi menjelaskan berkenaan pemberian dua dos vaksin Comirnaty tersebut.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan kajian klinikal fasa 3 yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari (selang masa dibenarkan adalah sehingga 42 hari), tahap keberkesanan vaksin Comirnaty ialah pada 94.6 peratus dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala.

Bagaimanapun, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21-28 hari daripada dos pertama, katanya.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button