Berita Utama

Isu kalimah Allah: Jangan tafsir Perkara 11 Perlembagaan secara berasingan

Menyebut ‘Allah’ merujuk agama bukan Islam adalah dilarang di dalam undang-undang

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan beragama tidak sepatutnya dipecahkan atau ditafsir secara berasingan.

Bahkan, di antara satu perkara dengan perkara yang lain juga tidak seharusnya ada percanggahan, apatah lagi di dalam Perkara 11 Perlembagaan, kata Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu berkata, semua pihak perlu membaca keseluruhan peruntukan kerana di dalam Perkara 11 terdapat 1, 2, 3 dan seterusnya 4.

“Dalam Perkara 11 (3)(a) mengatakan tiap-tiap kumpulan agama mempunyai hak untuk mentadbir agama sendiri, itu jelas.

“Tetapi ia tidak boleh dibaca sebegitu sahaja. Kita kena baca Perkara 11 (1), iaitu setiap orang berhak untuk menganut dan mengamalkan agamanya tertakluk kepada untuk menyebar kepada orang bukan Islam dan tidak boleh sebar kepada orang Islam,” katanya dalam program Analisis di TV Al-Hijrah, malam ini.

Zainul Rijal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan gereja Katolik yang memberikan lima sebab utama kenapa mahu terus gunakan kalimah Allah.

Antara sebab itu, gereja berkenaan mendakwa bahawa kerajaan tidak ada hak campur tangan dalam urusan dalam gereja berdasarkan hak yang diberikan oleh Perkara 11 (3)(1) Perlembagaan.

Mengulas perkara itu, Zainul Rijal menjelaskan, undang-undang tidak mengatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh menyebut kalimah Allah, tetapi menyebut ‘Allah’ bagi merujuk agama bukan Islam adalah dilarang di dalam undang-undang.

Katanya, Perkara 11 (4) mengatakan bahawa undang-undang boleh dibuat negeri dan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan, bagi menyekat dan mengawal penyebaran doktrin agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

“Berdasarkan Perkara 11 (4) itu undang-undang telah dibuat, mengenai salah guna penyebaran agam bukan Islam termasuk melarang mereka menggunakan perkataan tertentu seperti Allah, Kaabah dan sebagainya bagi merujuk agama mereka.

“Jadi kita perlu baca secara keseluruhan bagaimana nak katakan kerajaan tiada hak campur urusan tersebut, sedangkan Perkara 11 (4) Perlembagaan mengatakan boleh disekat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button