Berita Utama

Kes Adib: Perlu satu penutup pastikan keadilan terlaksana

Isu liwat, kalimah Allah beri impak besar dalam perundangan negara

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang sudah berlanjutan selama dua tahun tiga bulan perlu ada pengakhiran yang jelas.

Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Allahyarham Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, pembunuh Allahyarham masih belum ditemui sekali gus menunjukkan kes kematian anggota bomba itu seolah-olah gagal menemui titik noktah.

Berikutan itu, pemerhati politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff bersetuju kes berkenaan memerlukan satu penutup bagi memastikan keadilan terlaksana.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut berkongsi sesi perbincangan bersama-sama dua rakan peguam iaitu Lukman Sheriff Alias dan Yusfarizal Yusoff di ibu kota, semalam.

Kongsinya, dua isu utama yang dibincangkan adalah penghakiman mahkamah dalam isu liwat yang menjadikan kesalahan tersebut terkeluar dari bidang kuasa Mahkamah Syariah dan dalam isu kebenaran penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada penganut agama Kristian.

“Saya bersetuju dengan mereka bahawa kedua-dua isu ini mempunyai impak yang besar kepada sistem perundangan negara dan saya menyatakan komitmen untuk menyokong kempen mereka menggerakkan rakyat bagi menuntut perubahan dalam isu-isu ini.

“Turut dibincangkan adalah pertemuan antara Lukman Sheriff bersama-sama dua mantan IGP, iaitu Tun Haniff Omar dan Tan Sri Musa Hassan, dengan IGP, Tan Sri Hamid Bador, bagi membincangkan penyelesaian kes Adib,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button