Dunia

Palestin terima bekalan pertama vaksin COVID-19

Henti beri 24,000 dos AstraZeneca sehingga kajian WHO selesai

RAMALLAH, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Pihak Berkuasa Palestin (PA) hari ini menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 di bawah inisiatif perkongsian global COVAX. 

Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sebanyak 38,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech akan diberikan pada Ahad ini, sementara 24,000 dos Oxford-AstraZeneca bakal disimpan dahulu sehingga keputusan kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) diketahui.

Sehingga kini, WHO – menerusi salah seorang ketua program COVAX – memaklumkan bahawa panel penasihat sedang memantau kes pendarahan beku yang didakwa berlaku di beberapa negara selepas menerima suntikan AstraZeneca.

Namun, WHO menggesa semua negara untuk tidak menghentikan kempen vaksinasi atas faktor kebimbangan keselamatannya.

Vaksin yang dihantar ke Tel Aviv adalah kumpulan pertama daripada WHO kepada rakyat Palestin di bawah inisiatif COVAX yang ditubuhkan dengan gabungan vaksin GAVI untuk memastikan akses vaksinasi yang adil untuk seluruh dunia. 

Penghantaran fasa kedua dan seterusnya COVAX dijangka dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Trak yang membawa penghantaran awal vaksin tiba di bandar Ramallah di Tebing Barat dari Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv. 

Kira-kira satu pertiga dos telah diperuntukkan untuk Semenanjung Gaza.

PA berharap pemberian vaksin melalui inisiatif COVAX dapat memanfaatkan sekitar 20 peratus populasi Palestin. 

Difahamkan, kumpulan pertama vaksin akan diutamakan kepada kakitangan kesihatan, pesakit kronik dan warga emas berusia 75 tahun ke atas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button