Berita Utama

PAS konsisten, istiqamah kalimah Allah hanya untuk Islam

Kecam pihak tak bertanggungjawab bangkit isu, cuba hancur keharmonian negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Meskipun Malaysia merupakan negara demokrasi, namun umat Islam berhak mempertahankan kalimah Allah daripada disalah guna oleh bukan muslim.

Sehubungan itu, Pemuda PAS menyokong penuh tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan.

Ketua Pemuda PAS, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan, pihaknya konsisten dan istiqamah dalam memperjuangkan kalimah Allah hanya untuk umat Islam sahaja.

“Fokus kita adalah untuk kita semua bersatu mempertahankan kalimah Allah ini. Sebab kalimah ini ‘kalimatul haq’. Benda yang benar tetapi digunakan dengan cara yang salah, itu yang tidak boleh,” tegasnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghancurkan keharmonian negara dengan membangkitkan isu berkenaan.

Ditanya mengenai tindakan sekumpulan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak yang menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik rayuan oleh kerajaan Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes itu, beliau berkata, itu pendapat masing-masing.

“Tiada hal sebab kita bukannya boleh bersetuju pada semua isu kerana ada isu yang kita ada pendapat masing-masing,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 50 wakil rakyat – yang mewakili pihak kerajaan mahupun pembangkang – dan empat ahli Dewan Negara meminta semua parti politik untuk tidak menangguk di air keruh dan mencari keuntungan politik dalam isu berkenaan.

Mereka juga meminta Muhyiddin menarik balik rayuan kononnya supaya dapat menamatkan polemik yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, Sarawak serta Orang Asli yang sudah berlanjutan lebih 35 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button