Berita Utama

Pemimpin politik terima rasuah demi survival?

Perlu wujud kaedah memudahkan pemimpin terima sumbangan elak kes rasuah

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling tidak menafikan wujud pemimpin politik yang terbabit dalam gejala rasuah.

Bagaimanapun, Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu itu menegaskan, tidak semua golongan politik berbuat demikian, selain percaya kebanyakan pemimpin menerima rasuah demi survival politik.

“Dalam politik kita memerlukan perbelanjaaan dan kewangan yang banyak, terutamanya setiap kali pilihan raya, kita terpaksa mencetak banyak perkara, kertas undi dan sebagainya.

“Jadi, orang politik termasuk mereka yang sudah dipilih sebagai pemimpin, Ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) maka mereka sentiasa didatangi orang untuk meminta bantuan.

“Kalau kita tiada wang, maka susahlah untuk bantu pemilih-pemilih kita ini. Ini masalah orang politik. Jadi dia (ahli politik) terpaksa mencari sumber kewangan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Zainal berkata, terdapat juga sebahagian kecil sumbangan yang diterima oleh parti politik datangnya daripada orang ramai.

Beliau menegaskan, ahli politik boleh dikira sebagai terbabit dengan gejala rasuah jika menerima sumbangan yang menjanjikan pulangan.

“Jadi, walaupun sumbangan itu asalnya untuk memberi kebajikan, tetapi jika ia digunakan secara peribadi, maka dianggap mendapat rasuah,” katanya lagi.

Justeru, beliau mencadangkan supaya mewujudkan satu kaedah yang diluluskan oleh undang-undang bagi memudahkan ahli politik menerima sumbangan, sokongan kewangan dan mengadakan tabung politik bagi partinya supaya beliau dapat bergerak dalam kawasan pilihan rayanya.

“Kita dapati, jika tiada undang-undang jelas untuk mendukung mereka dengan cara mendapatkan kewangan yang betul, maka dia akan sentiasa terlibat dengan soal mendapat wang, menerima sumbangan dan sering kali kaedah itu merupakan rasuah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button