Berita Utama

Tiada jamuan buka puasa, moreh di masjid: Jawi

Boleh solat sunat tarawih 20 rakaat dengan surah, ayat pendek

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan aktiviti pengimarahan Ramadan diadakan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan dengan beberapa ketetapan tertentu.

Dalam kenyatan hari ini, Jawi turut mengumumkan kebenaran memperluaskan bilangan jemaah bagi solat Jumaat di semua ruang yang sesuai di masjid serta surau yang diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat, termasuk kawasan berkhemah dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu itu akan berkuat kuasa pada 18 Mac, setelah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan perkembangan terkini.

“Bilangan jemaah bagi solat fardu adalah mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

“Masjid dan surau di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan mengadakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha dan sebagainya dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya.

Bagi aktiviti pengimarahan bulan Ramadan, Mohd Ajib berkata, solat sunat tarawih dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter.

Bagaimanapun, pelaksanaan solat sunat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dengan bacaan surah-surah atau ayat-ayat pendek, katanya.

“Tazkirah tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan solat sunat tarawih.

“Tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dengan jumlah peserta separuh atau 50 peratus dari kapasiti dewan solat utama dengan penjarakan fizikal 1.5 meter,” katanya.

Beliau berkata, sebarang jamuan berbuka puasa atau iftar dan moreh juga tidak dibenarkan.

Namun, jawatankuasa kariah digalakkan memberi sumbangan berbuka puasa kepada golongan yang memerlukan, dan menyediakan makanan secara berbungkus selepas tarawih untuk dibawa pulang oleh jemaah.

Manakala, qiamullail masih dibenarkan untuk dilaksana iaitu 30 minit sebelum waktu imsak.

“Pembayaran zakat fitrah secara manual atau pembayaran terus kepada amil dibenarkan di samping pembayaran secara dalam talian atau kaedah ditetapkan oleh Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Semua ketetapan terbaharu ini adalah tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan serta prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button