Berita Utama

Undi 18 tahun: ‘Sukar ramal pola undi mereka’

Perlu ambil kira idealisme sejagat, latar belakang parti politik yang bersih

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 3 Syaaban 1442H, Rabu – Tidak mudah untuk menjangkakan senario politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran ketidaktentuan yang berlaku antara gabungan parti ketika ini.

Apatah lagi, sekiranya golongan muda berusia 18 tahun mula dibenarkan mendaftar sebagai pemilih dan mengundi pada pilihan raya umum nanti.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, sukar untuk meramalkan pola pengundian golongan berkenaan setakat ini.

Ini kerana katanya, ia akan mengambil kira kecenderungan idealisme sejagat, hak sama rata semua kaum dan melihat latar belakang parti politik sama ada bersih atau tidak daripada rasuah serta salah guna kuasa.

“Jadi, parti politik yang memaparkan idealisme yang diinginkan oleh orang muda ini mungkin akan mendapat undi dari orang muda,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan scara automatik.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim memaklumkan bahawa kelayakan yang sepatutnya berkuat kuasa Julai ini tidak dapat diteruskan berikutan pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya.

“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan.

“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya yang akan tededah dengan tempoh masa yang lama.

“Setelah melihat situasi sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button