Berita Utama

BERJASA Shah Alam sasar 1,000 sokongan menjelang Ramadan

Tawarkan solusi, agenda dan perjuangan ikhlas, bukan retorik janji-janji manis manifesto

BANGI, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Selangor Bahagian Shah Alam menyasarkan 1,000 sokongan akar umbi menjelang Ramadan ini.

Sebagai langkah pertama, kempen keahlian BERJASA telah dilancarkan dengan menyasarkan rakan-rakan strategik dari kalangan peminat idea, wawasan dan prinsip yang diperkenalkan oleh BERJASA dalam menangani isu politik negara.

Kempen yang dimulakan pada awal Mac tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 100 keahlian baharu untuk BERJASA Bahagian Shah Alam.

Ketua Penerangan BERJASA Selangor, Ustaz Fahmi Bazlan Muda berkata, melihat kepada trend penerimaan masyarakat, rata-rata menginginkan suatu kelainan dan alternatif kepada pilihan parti politik.

“Mereka mahukan politik matang dan berprinsip supaya agenda perjuangan membela isu rakyat, kedaulatan negara dan kesucian Islam dapat diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berkongsikan pengalaman ketika sesi penerangan mengenai BERJASA sebelum ini.

“Saya ditanya apa signifikan mereka sertai BERJASA. Jawapan saya, BERJASA membawa aspirasi masa depan negara.

“Dengan menawarkan solusi, agenda dan perjuangan ikhlas dan bukan retorik janji-janji manis manifesto seperti yang berlaku kepada parti lain.

“Berdepan dengan masalah kebajikan rakyat BERJASA bukan parti mewah yang boleh menabur janji bulan dan bintang. Namun kebajikan tetap menjadikan sebahagian agenda penting BERJASA dengan memastikan masyarakat mendapat perhatian pihak berwajib,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan semua pihak yang ingin mengenali BERJASA dengan lebih mendalam.

Bagi mereka yang ingin berbuat sedemikian boleh hubungi beliau di talian BERJASA Selangor 011-11079969.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button