Berita Utama

JAINJ sahkan Illi Najwa masih Islam

Pendaftaran perkahwinan pasangan itu di Johor Bahru dalam proses

JOHOR BAHRU, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Wanita warganegara Malaysia, Illi Najwa Anuar Hussin Saddique yang sebelum ini menimbulkan kontroversi berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar pada tahun lalu, disahkan masih beragama Islam.

Perkara berkenaan dimaklumkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), selepas hasil siasatan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan yang turut berkenan menerima menghadap Illi Najwa di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini.

Hadir bersama Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAINJ, Datuk Md. Rofiki Shamsudin.

Dalam pertemuan itu, Datuk Yahya mempersembahkan hasil siasatan JAINJ berhubung status perkahwinan dan keagamaan Illi Najwa bersama pasangan.

Katanya, siasatan secara menyeluruh telah dijalankan JAINJ dan mendapati wanita berkenaan masih Islam.

“Pihak JAINJ telah memanggil Illi Najwa bersama ibunya serta beberapa saksi lain dan keterangan juga diambil daripada mereka.

“Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar dari Islam, malah pada hari ini beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama kami untuk mengadap Baginda Tuanku Sultan,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pada masa sama, Datuk Yahya berkata, pendaftaran perkahwinan pasangan itu di Johor Bahru juga kini dalam proses.

“Tiada ada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai,” katanya.

Disember lalu, Sultan Ibrahim menitahkan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan yang dilaporkan berkahwin dengan Kapten Hoki India.

Baginda bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Johor, baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button