Berita Utama

Kerajaan perlu teruskan rayuan isu kalimah Allah: Sultan Johor

Sultan Ibrahim arah MAIN ambil tindakan sokong rayuan Kerajaan Persekutuan

BANGI, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menyeru Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan dalam prosiding penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam.

Baginda turut mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan terbabit.

Titah baginda, nama ‘Allah’ ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

“Apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar, saya merasa amat dukacita kerana perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian bangsa Johor yang hidup bermuafakat di dalam satu negeri.

“Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan atau penghakiman.

“… kerana isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di negeri Johor khususnya apabila isu tersebut berkait rapat di dalam ruang sempadan agama Islam,” titahnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, baginda bertitah, Fatwa Negeri Johor yang telah diwartakan oleh Kerajaan Johor pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa ‘Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang.’

Fatwa ini bermaksud penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Isam yang tidak bertepatan dengan maksud yang sebenarnya sebagaimana ajaran agama Islam adalah sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan.

“Di Johor, kita juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan. Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh perundangan,” titahnya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button