Berita Utama

PAS mahu rampas Parlimen Bangi daripada DAP

Shafie Ngah yakin tidak akan berlaku tiga penjuru di Bangi

BANGI, 4 Syaaban 1442H, Khamis – PAS berhasrat untuk menang di kerusi Parlimen Bangi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Atas dasar itu, Yang Di-Pertua PAS Bangi, Ustaz Haji Mohd Shafie Ngah berkata, PAS perlu bekerja dua kali ganda untuk merampas kembali daripada DAP.

“Ini kerana komposisi pengundi bukan Melayu dan Melayu hampir seimbang. 50-50. Lebih kurang begitu. 

“Di pihak PAS Bangi kita kena kerja dua, tiga kali ganda, merampas kerusi dari DAP,” katanya ketika dihubungi TV Pertiwi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, petugas PAS telah bekerja dari tahun lepas untuk menarik minat pengundi dan menawarkan khidmat semula kepada mereka, seperti mana PAS berkhidmat ketika berada dalam kerajaan negeri Selangor suatu ketika dahulu.

“Apa yang kita tawarkan kepada pengundi Bangi adalah tawaran baru untuk menjadikan Bangi lebih sejahtera. Kenal dan boleh berdamping dengan Yang Berhormat (YB) kawasan.

“Masalah yang kita hadapi hari ini adalah tidak berjumpa dengan YB kawasan. Jadi mana-mana pergi soalannya sama, mana pergi YB dan kenapa langsung tak nampak muka. 

“Sama ada ketika menjadi timbalan menteri ataupun sekarang bukan timbalan menteri,” katanya

Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru, Shafie bagaimanapun menolak pandangan itu.

“Mengikut rancangan, sekarang tidak akan berlaku tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin hanya dari pihak Bebas yang cuba menarik sedikit sebanyak undi kepada mereka.

“Secara dasarnya persefahaman kami mungkin tak akan berlaku tiga penjuru antara parti-parti besar di Bangi,” katanya.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Bangi dimenangi Dr Ong Kian Ming (DAP), mengalahkan calon PAS, BN dan Parti Rakyat Malaysia. 

Dahulu Parlimen Bangi dikenali sebagai Parlimen Serdang namun ditukar pada 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button