Berita Utama

PRU15: Demi survival bangsa Melayu, UMNO-PAS-Bersatu perlu bekerjasama

Struktur politik sebelum PRU14 perlukan perubahan, penyusunan semula

BANGI, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Demi survival bangsa Melayu serta politik jangka panjang, UMNO, PAS dan Bersatu perlu bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kerjasama rapat parti politik utama Melayu akan menjamin kemenangan, tetapi perpecahan dan mengutamakan kepentingan parti, bakal membawa risiko besar.

Porfessor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohd Noor Yazid berkata, perpecahan parti politik Melayu akan melemahkan politik bangsa Melayu dan membawa keuntungan kepada lawan.

Untuk PRU15 nanti, beliau percaya, UMNO boleh bertanding bersendirian, namun risikonya adalah besar.

“UMNO boleh bertanding di semua kerusi majoriti Melayu dengan keluar daripada kerjasama PN (Perikatan Nasional), tetapi jumlah kemenangan bakal dimenangi juga risiko besar.

“Keputusan lebih mudah dan memungkinkan peratus kemenangan calon UMNO besar adalah bertanding di kawasan majoriti Melayu dengan kerjasama Bersatu dan PAS,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembahagian kerusi antara tiga parti utama orang Melayu itu juga perlu diubah suai dengan struktur politik semasa negara.

Sebelum PRU14, katanya, semua kawasan majoriti Melayu dimiliki UMNO, namun situasi semasa telah berubah.

“Bersatu perlu mendapat tempat wajar dan munasabah, manakala UMNO juga perlu berkorban kerusi tradisi kerana perubahan situasi dan struktur baharu.

“Struktur politik sebelum PRU14 memerlukan perubahan dan penyusunan semula.

“Politik berasaskan kepartian semata-mata perlu berkorban demi kepentingan politik bangsa lebih besar dan kepentingan jangka panjang,” katanya.

Jelasnya, kerjasama rapat parti politik utama Melayu akan menjamin kemenangan, namun perpecahan dan mengutamakan kepentingan parti bakal membawa risiko besar.

Tambahnya, perpecahan parti politik Melayu turut akan melemahkan politik bangsa Melayu dan membawa keuntungan kepada lawan.

“Justeru, pemimpin politik Melayu perlu merenung sedalamnya dan membuat keputusan bijak demi survival bangsa serta politik jangka panjang bangsa Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button