Berita Utama

Setahun PKP: Bantuan disalur belum cukup bantu rakyat terkesan

Perlukan strategi dalam usaha pulihkan negara dari kegawatan ekonomi

Oleh Fazleen  Safina

BANGI,  4 Syaaban 1442H, Selasa – Hari ini genap setahun tarikh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – 18 Mac – hakikatnya ekonomi negara semakin merudum berbanding tahun lalu, meskipun kerajaan telah membenarkan pelbagai sektor beroperasi semula.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, bantuan-bantuan yang disalurkan  terlalu kecil untuk menampung kehilangan pendapatan kebanyakan rakyat marhaen.

“Keadaan semakin meruncing dan ini bermakna kerajaan sebenarnya telah berusaha bersungguh-sungguh menolong, namun tidak cukup untuk menampung kesan penutupan banyak sektor ekonomi sebelum ini,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Atas dasar itu, Prof Barjoyai berkata, satu strategi perlu diwujudkan disebabkan negara ini masih dalam proses untuk pulih daripada kegawatan ekonomi.

“Ekonomi rakyat memerlukan beberapa strategi jangka pendek dalam usaha memulihkan setiap keluarga dan perniagaan mikro, perniagaan kecil sederhana dan perniagaan besar untuk beroperasi semula seperti sedia kala.

“Pada masa yang sama, kita perlu memacu ekonomi dengan mengambil setiap peluang yang ada,” jelasnya.

Malaysia melaksanakan PKP selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mengumumkan pelaksanaannya Mac tahun lalu, bagi mengawal penularan wabak COVID-19, dengan sempadan antarabangsa dikawal ketat dan penutupan beberapa sektor ekonomi. 

Awal tahun ini, kerajaan mengembalikan perintah itu atau PKP 2.0 disebabkan jumlah kes wabak semakin meningkat dan jangkitan di kilang-kilang semakin menular. 

Pada awalnya, PKP 2.0 dilaksanakan di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan dengan sekatan yang lebih longgar berbanding kali pertama. 

Tidak lama kemudian, perintah itu kemudian diperluas ke seluruh negara, kecuali Sarawak. 

Sehari sebelum ulang tahun pertama pelaksanaan PKP buat kali pertama, kerajaan mengumumkan tiada lagi PKP secara menyeluruh. Sebaliknya, sekatan akan tertumpu kepada lokaliti tertentu.

Muhyiddin juga mengumumkan pakej ransangan Pemerkasa bernilai RM20 bilion yang bertujuan untuk menghidupkan kembali ekonomi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button