Berita Utama

Kerajaan imbang kawalan pergerakan, keperluan aktiviti harian

Kelangsungan ekonomi perlu dilindungi kekal momentum pemulihan

KUALA LUMPUR, 26 Safar 1442H, Rabu – Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengimbangi kawalan pergerakan dan keperluan melakukan aktiviti harian untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kelangsungan ekonomi perlu dilindungi untuk memastikan momentum pemulihan ekonomi dapat dikekalkan.

“Sebagai Menteri Kewangan, untuk memastikan agar rakyat dapat terus mencari rezeki dan perniagaan dapat terus berniaga, adalah penting kepada saya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian semasa membentangkan Laporan Laksana Ke-25: Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata kerajaan mengambil pengalaman daripada langkah-langkah kawalan pergerakan yang lalu dan kesan langkah tersebut terhadap punca pendapatan dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19.

Kerajaan pada minggu ini telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur setelah mengambil kira peningkatan kes baharu COVID-19 di kawasan-kawasan tertentu, dan juga corak penularan jangkitan wabak tersebut.

“Saya berharap semuanya tabah dan memahami bahawa tindakan ini diambil bagi melindungi rakyat. Janganlah kita leka. Kita masih berperang dengan musuh yang tidak nampak.

“Diingatkan bahawa PKPB ini berbeza dengan PKP yang dilaksanakan pada bulan Mac hingga Mei, di mana hampir keseluruhan aktiviti ekonomi seperti perniagaan, perkilangan dan gerai-gerai masih boleh beroperasi dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button