Berita Utama

Tak patuh SOP di tempat kerja punca kluster Ladang Bukit

96 individu positif COVID-19 dan 1,023 kontak rapat berjaya dikesan

KUALA TERENGGANU, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Kluster Ladang Bukit yang menjadi kluster baharu kes COVID-19 di Terengganu berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Katanya, sejak kluster itu didaftarkan pada 12 Mac lalu, seramai 96 individu disahkan positif COVID-19 dan 1,023 kontak rapat berjaya dikesan melibatkan empat daerah iaitu  Kemaman, Dungun, Marang dan Kuala Terengganu.

Menurutnya, kluster Ladang Bukit melibatkan jangkitan di tempat kerja di Kerteh dengan 49 daripada 161 pekerja dikesan positif COVID-19 secara serentak.

“Untuk kluster ini seramai lima murid dan seorang guru dari enam sekolah rendah turut dijangkiti,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata penularan COVID-19 boleh dicegah sekiranya orang ramai mematuhi SOP di tempat kerja bagi mengelak kluster seperti Ladang Bukit.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk mendaftar sebagai penerima vaksin secepat mungkin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button