Berita Utama

DUN Johor perhalusi Enakmen Anti Lompat Parti

Sebagai patuhi janji dalam kempen PRN sebelum ini

BANGI, 19 Ramadan 1443H, Khamis – Bagi menunaikan janji sebelum ini, Dewan Undangan negeri (DUN) Johor memberi tumpuan dan penelitian terhadap Enakmen Anti Lompat Parti, hari ini

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, enakmen tersebut akan diperhalusi dan memastikan tiada lagi ahli politik di negeri ini yang tidak berprinsip mengkhianati mandat rakyat.

“Perkara perlu kita utamakan adalah anti lompat parti, saya juga baru-baru ini berjumpa dengan (Ahli Parlimen Pengerang) Datuk Seri Azalina (Othman Said), yang mana saya difahamkan baru-baru ini isu itu mempunyai teknikal yang perlu diperhalusi kerajaan di peringkat Parlimen.

“Jadi kami di Johor pun akan mengorak langkah yang sama untuk memastikan perkara ini diteliti,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Onn Hafiz bagaimanapun berkata, pelaksanaan Enakmen Anti Lompat Parti akan berlandaskan keselarian di peringkat Persekutuan.

“Buat masa ini perkara utama bagi merealisasikan usaha berkenaan adalah dengan melihat dahulu perkembangan semasa Akta Anti Lompat Parti di peringkat Persekutuan.

“Saya lihat apa pun yang berlaku di peringkat Parlimen, mesti juga akan ada kesannya di peringkat kerajaan negeri.

“Jadi kita kena lihat adakah perkara itu akan ada kesan kepada kita. Paling utama hubungan Putrajaya dan Johor mesti ada keselarian,” tegas beliau.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaannya dalam memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti sebagai salah satu tawaran utama sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memaklumkan perkara itu merupakan satu daripada inisiatif yang mahu ditawarkan dalam teras Reformasi Politik bagi memastikan kerajaan negeri selepas ini kekal stabil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button