Berita Utama

Polis Pahang panggil 10 individu bagi keterangan isu buli pelatih TUDM

Siasatan masih diteruskan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya

BANGI, 18 Syawal 1444H, Selasa – Polis Pahang memanggil lebih 10 individu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan, bulan lalu.

Selain mangsa, turut dipanggil untuk memberi keterangan adalah enam suspek yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

“Siasatan berhubung kes tersebut masih berjalan termasuk memanggil sebanyak mungkin saksi dalam kalangan pelatih dan penyelia bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijangka tidak mengambil masa yang lama dan diselesaikan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sehingga kini enam suspek yang didakwa terlibat belum ditahan, sebaliknya hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

“Siasatan akan dilakukan melibatkan pelbagai aspek dan jika didapati berlaku elemen jenayah tindakan selanjutnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan termasuk untuk pendakwaan dan sebagainya,” katanya.

Kes buli melibatkan pelatih TUDM terbongkar selepas keluarga seorang mangsa tampil membuat laporan polis dan tular di media sosial.

Kelmarin, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, siasatan dalaman berkaitan isu berkenaan dijangka siap dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau mengakui perkara itu telah pun dibangkitkan di dalam mesyuarat pasca Kabinet minggu lalu dan siasatan dalaman tetap diteruskan meskipun kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button