Berita Utama

Isu Korea Utara: Malaysia sekali lagi jadi ‘kambing hitam’

Pyongyang berang dengan kerjasama ketenteraan AS, Korea Selatan

BANGI, 5 Syaaban 1442H, Jumaat – Keputusan Korea Utara untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia tidak lebih sekadar mahu menjadikan negara ini sebagai ‘kambing hitam’.

Pakar geostrategik, Azmi Hassan mendakwa, tindakan Pyongyang itu bertitik tolak daripada rasa marah ke atas Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan yang menjalani latihan ketenteraan bersama.

“KL dijadikan kambing hitam dalam isu pembunuhan Jong Nam di KLIA2 pada 2017. Ketika kemelut ini Pyongyang lancar 6 peluru berpandu ke arah Jepun. Gusar rakyat Malaysia ketika itu.

“Hari ini kerana marahkan sangat latihan tentera AS dan Korea Selatan yang sedang berjalan, Pyongyang guna isu extradisi rakyat mereka ke AS.

“Pyongyang ugut jika timbul konfrantasi dengan Washington, kesalahan dibahu tanah air ku. Jangan jadikan Malaysia sebagai kambing hitam sekali lagi!,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Korea Utara menyatakan akan memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas mahkamah di Malaysia mengarahkan seorang lelaki warganya diekstradisikan ke AS.

Menurut kenyataan agensi Korean Central News Agency (KCNA), Kementerian Hal Ehwal luar Korea Utara menyatakan lelaki tersebut didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram.

“Semalam pihak berkuasa Malaysia telah melakukan kesilapan yang tidak boleh dimaafkan dengan menyerahkan warga Korea Utara yang tidak bersalah kepada AS.

“Dengan ini, kami mengumumkan keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia,” menurut kenyataan itu yang menyifatkan perkara tersebut sebagai tindakan untuk bermusuhan dengan Pyongyang dengan tunduk kepada tekanan AS.

Sehubungan itu, menurut laporan KCNA, Korea Utara turut memberi amaran kepada AS dengan mengatakan ‘Washington akan menanggung padahnya’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button