Berita Utama

Penggunaan kalimah Allah secara bersyarat dibenar Jemaah Menteri 1986

Kabinet didakwa tidak kenakan larangan total ke atas 4 perkataan oleh penerbitan Kristian

BANGI, 5 Syaaban 1442H, Jumaat – Penghakiman Mahkamah Tinggi memaklumkan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1986 membenarkan penerbitan Kristian menggunakan kalimah ‘Allah’, dengan syarat tertera ‘hanya untuk penganut Kristian sahaja’ pada muka depan bahan itu.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin dilaporkan berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan itu pada Mei 1986, dan ia dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

FMT melaporkan, nota Ghafar menyatakan perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’, dan ‘solat’ umumnya tidak boleh digunakan oleh penganut Kristian kecuali ia memenuhi syarat-syarat tertentu.

Namun, pada 5 Disember 1986, seorang pegawai kementerian, Hassan Jantan mengeluarkan arahan kepada semua penerbitan Kristian, bagi pihak ketua setiausaha, menyatakan mereka tidak boleh menggunakan empat perkataan itu, lapor portal itu.

Katanya, kerajaan memutuskan sedemikian bagi menjaga ketenteraman awam dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam dan Kristian.

Arahan Hassan itu juga menyatakan majlis agama negeri juga boleh menyuarakan pandangan berhubung perkara ini memandangkan Islam bawah bidang kuasa mereka.

Kemudian, bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar (2008-2009) mengesahkan suatu afidavit yang menyokong arahan itu, bagi melarang Jill Ireland menggunakan kalimah ‘Allah’.

Noor Bee berkata, sekiranya surat Dr Mahathir dan nota Ghafar pada 1986 ditafsirkan dengan betul dan wajar, keputusan Jemaah Menteri itu tidak mengenakan larangan total ke atas pengunaan empat perkataan itu oleh penerbitan Kristian.

Sebaliknya, arahan KDN yang mengenakan larangan total itu.

Beliau berpandangan arahan itu adalah arahan berasingan yang dikeluarkan Bahagian Kawalan Penerbitan KDN.

Katanya, prosiding semakan kehakiman ini mungkin tidak akan berlaku sekiranya keputusan Jemaah Menteri itu dijalankan secara betul dan wajar menerusi undang-undang yang berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button