Berita Utama

Pengurus Pertubuhan IKRAM didakwa bunuh rakan sekerja

Tiada sebarang pengakuan direkod daripada tertuduh

KAJANG, 5 Syaaban 1442H, Jumaat – Seorang pengurus Pertubuhan IKRAM Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerja yang mayatnya ditemui dengan kesan jerut di leher di sebuah rumah di Taman Bangi di sini, dua minggu lepas.

Hasbullah Ismail, 57, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hasbullah didakwa telah membunuh Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan IKRAM Muda Malaysia Nik Khatijah Nik Mud, 32, di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, di sini, antara 11 malam pada 5 Mac hingga 3 pagi, 6 Mac lalu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin manakala peguam Abdul Halem Mohamad Husin mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 9 Mac lepas, Bernama melaporkan pihak polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh seorang petugas wanita badan bukan kerajaan yang ditemukan dengan kesan jerut di leher di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button