Berita Utama

Xinjiang-Malaysia pertingkat kerjasama pertanian, tekstil

Menganut agama Islam telah tingkatkan persefahaman di antara kedua belah pihak

KUALA LUMPUR, 5 Syaaban 1442H, Jumaat – Wilayah Autonomi Republik Rakyat China (RRC) Xinjiang, berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang pertanian, tekstil, pengeluaran makanan halal, perubatan dan pelancongan, kata Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur, Shohrat Zakir.

Beliau berkata persamaan kepercayaan agama yang dikongsi oleh wilayah Xinjiang yang terkenal dengan penduduk Uyghurnya yang beragama Islam dan Malaysia telah meningkatkan persefahaman antara kedua-dua pihak untuk meletakkan asas kerjasama yang kukuh.

“Kami juga mengadakan persembahan kebudayaan di pelbagai tempat di Malaysia dan kami mengalu-alukan warga Malaysia berkunjung ke Xinjiang, menyaksikan sendiri kemakmuran dan kestabilan yang telah kami capai, selain mengeratkan hubungan sesama rakyat,” katanya pada acara maya bertajuk ‘Xinjiang is a Wonderful Land’ yang diadakan melalui aplikasi Zoom, hari ini.

Menurutnya, Xinjiang akan terus memanfaatkan kelebihan geografi wilayah tersebut selain menerapkan falsafah pembangunan baharu.

Xinjiang, terletak di barat laut China, berkeluasan lebih 1.6 juta kilometer persegi (620,000 mil persegi) dan mempunyai sekitar 25 juta penduduk merangkumi 56 etnik.

Sementara itu, Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing mengundang ahli politik dan badan bukan kerajaan Malaysia berkunjung ke Xinjiang untuk memahami lebih mendalam mengenai wilayah itu.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Ti Lian Ker, yang menjadi penceramah jemputan pada majlis itu, berkata Xinjiang dan Malaysia mempunyai banyak persamaan, iaitu dalam menggalakkan perpaduan etnik.

“Nenek moyang kita telah mengetepikan perbezaan latar belakang mereka sehingga kita mencapai perpaduan yang teguh hingga hari ini dan mencapai kemajuan negaral,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button