14 maut bas jatuh gaung di Sri Lanka
Nahas terburuk pada 2005, pemandu rempuh kereta api

COLOMBO, 6 Syaaban 1442H, Sabtu– Sekurang-kurangnya 14 maut termasuk pemandu apabila bas terjunam ke dalam sebuah gaung di kawasan bukit dekat Passara, hari ini.
Ketika kejadian, polis berkata, bas milik persendirian itu yang cuba membuat pusingan turut merempuh sebuah trak di laluan yang sempit.
Polis berkata, lima daripada penumpang yang maut adalah wanita manakala lapan yang lain adalah lelaki.
Selain itu, 30 penumpang yang lain telah mengalami kecederaan.
Jurucakap polis, Ajith Rohana berkata, siasatan lanjut mengenai kemalangan terbabit sedang dijalankan.
Nahas bas berkenaan adalah terburuk sejak April 2005, ketika seorang pemandu merempuh sebuah kereta api di persimpangan di bandar barat laut Polgahawela.
Pemandu bas terbabit cedera ringan, namun 37 penumpang terkorban.
Sri Lanka merekodkan kira-kira 3,000 kematian jalan raya setiap tahun, menjadikan jalan raya di pulau ini antara paling berbahaya di dunia. -Agensi